Mahkamah tolak rayuan ketepi ganti rugi

Oleh – Syeikh Baran


Mahkamah tolak rayuan ketepi ganti rugi
Gambar Hiasan

Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak permohonan pihak polis dan kerajaan untuk mengetepikan ganti rugi RM450,000 yang diberikan kepada balu serta anak lelaki seorang tahanan yang meninggal dunia ketika berada dalam tahanan polis, tujuh tahun lalu.

Peguam Haresh Mahadevan, yang mewakili M.Vimala Devy dan S.Thusataran, memaklumkan Bernama bahawa panel tiga hakim diketuai Datuk Lee Swee Seng memutuskan bahawa tiada alasan kukuh untuk mengganggu penemuan fakta yang dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman dalam kes itu.



Beliau berkata Lee turut memutuskan bahawa kecederaan yang dialami oleh suami Vimala iaitu M.Segar tidak dapat disangkal berdasarkan keterangan oleh pakar patologi forensik.

Turut bersidang ialah Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azizul Azmi Adnan.

Haresh memaklumkan Lee berkata pihak polis juga enggan memberikan rakaman kamera litar tertutup berhubung apa yang sebenarnya berlaku kepada Segar di dalam lokap dan bilik soal siasat di Ibu Pejabat Daerah Polis Port Dickson.

Beliau berkata Lee turut memerintahkan kos RM15,000 diberikan kepada Vimala dan anaknya.



Pada 8 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi Seremban memutuskan bahawa defendan cuai kerana gagal memastikan keselamatan Segar semasa dia berada dalam tahanan mereka.

Pesuruhjaya Kehakiman Wan Fadhilah Wan Idris telah memberikan ganti rugi teruk sebanyak RM200,000 kepada Vimala dan anaknya selain RM150,000 bagi misfeasan pegawai, RM63,000 bagi kehilangan tanggungan, RM30,000 bagi kedukacitaan dan RM3,780 bagi perbelanjaan pengebumian.

Menurut pernyataan tuntutan, Vimala dan Thusataran berkata Segar yang bekerja sebagai pembantu gerai makan serta rakannya ditahan polis pada 17 April 2017 atas dakwaan terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tuanku Ja’afar mendapati kematian Segar adalah disebabkan antaranya oleh kecederaan tisu dalaman akibat trauma tumpul.



Peguam Kanan Persekutuan Siti Syakimah Ibrahim dan Peguam Persekutuan Syafiq Affandy Hassan mewakili pihak polis serta kerajaan.

Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button