Buruh kudung tangan aniaya anak tiri dipenjara 6 tahun
Oleh – Syeikh Baran
Perbuatan serakah seorang buruh yang juga orang kurang upaya (OKU) kudung tangan kiri melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan tirinya pada dua tahun lalu berbalas apabila dia dihukum penjara enam tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Nooriah Osmah menjatuhkan hukuman demikian selepas tertuduh yang berusia 44 tahun berkenaan membuat pengakuan bersalah selepas tiga pertuduhan dibacakan.
Beliau juga memerintahkan lelaki tersebut berada di dalam pengawasan polis selama dua tahun sebaik hukuman penjara selesai dijalani.
Berdasarkan kesemua pertuduhan, lelaki tersebut didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang merupakan kanak-kanak perempuan yang ketika kejadian berusia 10 tahun tujuh bulan.
Dia didakwa melakukan perbuatan berkenaan di sebuah rumah di daerah ini antara bulan April sehingga Mei 2022.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.
Sumber – KOSMO! ONLINE