8 individu dituduh operasi kondo jadi pusat judi
Oleh – Syeikh Baran
Lapan individu termasuk seorang wanita tempatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menguruskan sebuah kondominium di Taman Bukit Dumbar, di sini sebagai rumah judi terbuka, minggu lalu.
Pertuduhan terhadap mereka yang berusia 22 tahun hingga 39 tahun itu dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.
Kesemua tertuduh yang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan iaitu Lee Yee Ling, 34; Chong Jia Seong, 22, Yeoh Eng Wah, 31, Au Yong Chee Hsien, 29, Tan Kuan Yang, 39, Chew Boon Leng, 25, Ng Chee Keat, 25 dan Hari Pamungkas, 22 didakwa mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Mereka didakwa menguruskan sebuah kondominium di Taman Bukit Dumbar sebagai sebagai rumah judi terbuka pada pukul 7.45 malam, 9 Mei lalu.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Asharaf Ali menawarkan jaminan RM15,000 untuk setiap tertuduh warga tempatan, manakala tiada jaminan diberikan kepada warga asing.
Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi setiap tujuh tertuduh rakyat tempatan, manakala warga asing pula dikenakan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin warga tempatan.
Sumber – KOSMO! ONLINE