Guna flexi bag sorok 70,000 liter diesel

Oleh – Syeikh Baran


Guna flexi bag sorok 70,000 liter diesel
Zuhairi (tengah) menunjukkan kontena berisi minyak diesel seberat 70,000 liter di kawasan lapang sekitar Pulau Meranti, Puchong, hari ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor membongkarkan helah sindiket menggunakan flexi bag bagi menyeludup minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di kawasan tanah lapang di Pulau Meranti, di sini, malam tadi.

Difahamkan, flexi bag itu mampu memuatkan lebih 70,000 liter minyak diesel dan mengembang mengikut bentuk tempat disimpan dalam konteks sindiket ini di dalam lori kontena.



Dengan tertumpasnya sindiket tersebut, sebanyak 98,400 liter bahan api disyaki diesel dengan anggaran nilai rampasan sejumlah RM211,560 berjaya dirampas.

Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, serbuan dilakukan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada pukul 10 malam tadi.

Jelasnya, kes tersebut kemudian diserahkan kepada pihak KPDN Selangor untuk tindakan siasatan di bawah Op Tiris 5.0.

“Kawasan lapang tersebut dipercayai dijadikan tempat pemindahan minyak diesel dari lori kecil yang diubah suai dengan tangki plastik yang berisi bahan api untuk dipindahkan ke dalam badan lori kontena.



“Semasa serbuan dilakukan, didapati berlaku aktiviti memindah bahan api disyaki diesel daripada lori jenis kecil ke motor lori tangki (tanker) dan seterusnya dipindahkan lagi ke lori kontena,” katanya pada sidang akhbar di lokasi serbuan.

Jelas beliau, hasil risikan selama dua minggu, seramai empat individu ditahan oleh pasukan serbuan PDRM di lokasi kejadian disyaki terlibat dengan kes disiasat.

Kata Mohd Zuhairi, keempat-empat warga tempatan berusia lingkungan 43 hingga 45 tahun itu didapati berperanan sebagai pemandu lori dan pembantu (kelindan lori).

“Semakan mendapati empat individu yang ditahan gagal mengemukakan kebenaran menyimpan dan membawa minyak diesel.



“Susulan itu, kes serahan ini diterima KPDN Selangor untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi siasatan dan rakaman percakapan,” katanya.

Tambah beliau, tindakan sita diambil membabitkan sebuah lori tanker berisi 27,000 liter diesel, sebuah lori bonded yang membawa dua tangki plastik (1,400 liter diesel), sebuah lori kontena (70,000 liter diesel).

“Peralatan lain turut dirampas termasuk alat mengepam minyak dan hos penyambung disyaki digunakan untuk aktiviti menyedut bahan api secara tidak sah yang membawa jumlah mencecah RM400,000,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button