Atuk didakwa cabul cucu saudara
Oleh – Syeikh Baran
Seorang warga emas didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, pada Khamis, atas pertuduhan menggunakan kekerasan dengan niat mencabul kehormatan cucu saudaranya.
Tertuduh berusia 62 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nabilah Nizam.Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang berusia 19 tahun ketika kejadian dengan niat hendak mencabul kehormatannya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebilik hotel di Taman Kota Laksamana Seksyen 3, di sini, kira-kira jam 8 malam pada 28 Januari tahun lalu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin mencadangkan jaminan RM10,000 berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan jaminan rendah kerana tidak lagi bekerja.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan tarikh 11 Julai depan sebagai tarikh serahan dokumen.
Sumber – SINAR HARIAN