Gunung Everest ‘makan’ korban ketiga

Oleh – Syeikh Baran


Gunung Everest ‘makan’ korban ketiga
BERPULUH-PULUH khemah didirikan di Base Camp, Gunung Everest pada 18 April lalu. – AFP

Seorang pendaki Kenya meninggal dunia berhampiran puncak Everest manakala pemandu arah warga Nepal hilang, kata seorang pegawai pelancongan hari ini, menjadikan angka korban di puncak dunia itu musim ini meningkat sekurang-kurangnya tiga orang.

Joshua Cheruiyot Kirui, 40, dan pemandu arahnya, Nawang Sherpa, 44, terputus hubungan pagi semalam dengan pasukan pencari dikerahkan ke gunung setinggi 8,849 meter itu.



“Pasukan pencari  menemui pendaki Kenya itu dalam keadaan tidak bernyawa  di antara puncak Everest  dan Hillary Step, tetapi pemandu arahnya hilang,” kata ketua pejabat lapangan jabatan pelancongan, Khim Lal kepada AFP.

Pasukan pencari juga berusaha mencari seorang pendaki Britain berusia 40 tahun dan pemandu arah Nepal berumur  21 tahun yang hilang sejak pagi kelmarin selepas lapisan  ais runtuh semasa mereka menuruni puncak Everest.

Pada Isnin lalu, seorang pendaki Romania meninggal dunia di dalam khemahnya semasa usaha mendaki gunung keempat tertinggi di dunia, Lhoste.

Everest dan Lhotse berkongsi laluan sama dan terpisah pada ketinggian kira-kira 7,200 meter.



Awal bulan ini pula, dua pendaki Mongolia hilang selepas sampai ke puncak Everest dan ditemui mati selepas itu.

Dua lagi pendaki iaitu masing-masing warga  Perancis dan Nepal, meninggal dunia pada musim pendakian tahun ini di Makalu iaitu puncak kelima tertinggi di dunia.

Nepal mengeluarkan lebih 900 permit untuk mendaki gunung-gunung di negara itu pada tahun ini termasuk 419 permit Everest.

Lebih 500 pendaki dan pemandu arah sampai ke puncak Everest selepas pasukan mengikat tali tiba di puncak gunung itu bulan lalu. – AFP 



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button