Sindiket jenayah terancang Geng TR lumpuh

Oleh – Syeikh Baran


Sindiket jenayah terancang Geng TR lumpuh
Mohd Shuhaily ketika sidang akhbar di Bukit Aman hari ini. KOSMO!/SYAKIR RADIN

Seramai 21 ahli sindiket jenayah terancang yang dilabel sebagai Geng TR berjaya dilumpuhkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Operasi Lima yang dilaksanakan di Johor, Pahang serta Selangor sejak 3 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, Geng TR terbabit mempunyai lima kumpulan terdiri daripada 08, 18, 21, 24 dan 36 yang merangkumi jenayah pengedaran dadah serta jenayah menggunakan kekerasan.



“Pada awalnya, seramai 18 ahli kumpulan jenayah terancang, kita telah kenal pasti sebagai ‘Geng TR’. Semua suspek yang disiasat mengikut Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Mereka ditahan selama 28 hari bermula 3 Mei hingga esok di Lokap Berpusat Shah Alam, Selangor dan akan dituduh hari ini di Mahkamah Shah Alam mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Susulan penahanan suspek berkenaan, pihaknya menahan tiga lagi individu yang dipercayai terlibat dalam aktiviti jenayah terancang terbabit.

“Sebenarnya (tiga suspek terbaharu) telah pun ditahan reman di Penjara Sungai Buloh. Hasil siasatan mendapati mereka ini sememangnya adalah ahli kongsi gelap.



“Suspek berusia lingkungan 26 hingga 51 tahun dan mereka ini dan kita percaya mereka bergiat aktif sejak tahun 2019 sehingga sekarang. Jadi, tindakan mengesan saki-baki kumpulan ini masih diteruskan.

“Seorang daripada suspek tidak dapat dituduh hari ini kerana suspek mempunyai masalah kesihatan, yang kini sedang mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara, di sini, dan akan dituduh semula sebaik sahaja habis rawatan,” ujarnya.

Ujarnya, jenayah yang dilakukan geng berkenaan bertumpu di beberapa kawasan Selangor manakala tangkapan dibuat di tiga negeri iaitu di Johor, Pahang dan Selangor.

Mengulas lanjut, Mohd. Shuhaily berkata, pihaknya sedang berusaha mengesan ahli lain yang masih bebas sekali gus menegaskan siasatan berkenaan memerlukan sedikit masa membabitkan kumpulan yang berlainan.



“Yang kita sedang cari, yang kita kenal pasti (ahli lain) dalam lingkungan 10 orang lagi yang masih lagi bebas.

“Disebabkan ia melibatkan lima kumpulan yang berbeza jadi, kita perlu sedikit masa untuk menjalankan siasatan untuk maklumat risikan, bukti mahupun keterangan. Jika dianggarkan, ia akan mengambil masa selama dua tahun atau lebih untuk menyelesaikan kes ini,” jelasnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button