Polis Johor bongkar makmal mini proses dadah RM11.6 juta

Oleh – Syeikh Baran


Polis Johor bongkar makmal mini proses dadah RM11.6 juta
KOK CHIN (kanan) bersama M. Kumar menunjukkan peralatan memproses dadah yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.-Foto RAJA JAAFAR ALI

Polis Johor berjaya menumpaskan kegiatan licik sindiket pengedaran dadah antarabangsa susulan penahanan 14 individu dalam tujuh serbuan di Johor Bahru, Seri Alam dan Iskandar Puteri, 29 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, dalam operasi yang dijalankan serentak bermula pada pukul 3.40 petang itu, kesemua suspek yang diberkas terdiri daripada dua lelaki tempatan dan masing-masing enam lelaki serta wanita warga asing.



Menurutnya, kesemua suspek yang diberkas berusia 22 hingga 52 tahun selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sejak Januari lalu.

“Sindiket ini didalangi lelaki warga asing berusia 49 tahun dan kesemua suspek yang terlibat dipercayai terlibat dalam aktiviti memproses dan mengedar pelbagai jenis dadah iaitu serbuk ekstasi, syabu, ketamin, pil ekstasi, pil eramin 5 serta bahan-bahan kimia memproses dadah.

“Sindiket ini menggunakan modus operandi dengan menyewa kondominium mewah dan rumah teres yang ada pengawal keselamatan untuk dijadikan tempat memproses serta membungkus dadah sebelum diedarkan ke negara jiran.

“Dalam operasi ini juga, Polis Johor berjaya membongkar sebuah rumah teres di Bukit Indah dijadikan sebagai makmal mini untuk memproses dan membungkus dadah keseluruhan 198.54 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah bernilai RM11.6 juta,”katanya.



Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar.

Kok Chin berkata, dalam serbuan itu, sebanyak enam buah kenderaan mewah termasuk Toyota Alphard, Vellfire dan Lexus dirampas.

Selain itu, 11 utas jam tangan mewah pelbagai jenama termasuk tiga jam tangan Rolex, 13 bentuk barang kemas, wang tunai Ringgit Malaysia dan Dolar Singapura (RM283,545).



Beliau berkata, siasatan lanjut mendapat sindiket ini juga licik membungkus dadah terbabit dalam bungkusan jus minuman serta mencetak dadah seperti ubat-ubatan termasuk ubat tahan sakit bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Saringan urin ke atas kesemua suspek mendapati tiga daripada mereka positif dadah selain lima warga asing yang ditahan adalah orang dikehendaki di negara mereka dan seorang warga tempatan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah,”katanya.

Tambahnya, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 30 Mei sehingga 5 Jun ini bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button