Perjalanan terakhir suami isteri, motosikal dirempuh Saga

Oleh – Syeikh Baran


Perjalanan terakhir suami isteri, motosikal dirempuh Saga
PASANGAN suami isteri, Muthusamy dan Manomani maut selepas dirempuh di Jalan Bukit Hantu, Alor Gajah, Melaka.

Seorang suami maut dalam keadaan menyayat hati, manakala isterinya menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di hospital selepas keduanya terlibat nahas di Jalan Bukit Hantu di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 malam itu, mangsa, S.Muthusamy, 67, yang menunggang motosikal meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan putus anggota kaki serta tangan.



Isterinya, S.Manomani, 57, mengalami pendarahan dalaman dan kecederaan di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, ketika kejadian pasangan itu yang menunggang motosikal jenis Honda dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Lubok China dari arah Lendu.

“Setiba di lokasi sebuah kereta Proton Saga dipandu seorang penuntut sebuah universiti awam berusia 20 tahun yang dari arah bertentangan telah terbabas masuk ke laluan mangsa.

“Kedua-dua kenderaan itu bertembung dan menyebabkan penunggang maut di lokasi, manakala isterinya yang membonceng meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital,” katanya kepada pemberita hari ini.



Tambahnya, mangsa lelaki merupakan seorang tukang rumah, manakala isterinya bekerja di sebuah kilang telur.

Mengulas lanjut beliau berkata, kemalangan itu dipercayai berpunca daripada faktor kegagalan mengawal kenderaan.

“Keadaan jalan adalah satu lorong dua hala, mendaki dan menuruni bukit serta mempunyai tanda garisan berkembar.

“Nahas berlaku dalam keadaan cuaca baik dan pencahayaan jalan yang cukup. Kemalangan ini berlaku kerana faktor kegagalan mengawal kenderaan,” ujarnya.



Katanya, mayat pasangan suami isteri itu telah di hantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button