CCTV pengecaman wajah bantu PDRM banteras jenayah lebih berkesan
Oleh – Syeikh Baran
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi penekanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mesti dibekalkan dengan peralatan dan aset canggih supaya usaha membanteras jenayah dapat dilakukan dengan lebih berkesan.
Beliau berkata, salah satu aset canggih yang boleh dimiliki PDRM adalah alat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) pengecaman wajah yang digunakan secara meluas oleh pihak keselamatan di China.
“Sebenarnya ujian tersebut telah dibuat di salah sebuah daerah di Johor dan ia belum dilanjutkan di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negara ini.
“Mungkin atas kekangan kewangan dan saya harap `modern policing’ ini kita tidak boleh lari. Mesti dilakukan sebab polis sangat memerlukan peralatan dan aset-aset canggih untuk melakukan pembanterasan jenayah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Operasi IPD Bagan Datuk di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, PDRM harus dibekalkan dengan peralatan yang lebih canggih kerana kini aktiviti jenayah turut menggunakan peralatan canggih,
“Polis perlu berada dalam ‘upper hand’, mesti berada di atas kemampuan penjenayah melibatkan jenayah terancang, rentas sempadan dan jenayah yang melibatkan soal ‘cyber security’, ” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE