Datang naik EX-5, balik naik Honda City curi di stesen minyak
Oleh – Syeikh Baran
Gara-gara meninggalkan kereta tanpa dikunci, seorang akauntan kerugian kira-kira RM94,000 apabila kenderaan jenis Honda City miliknya dilarikan seorang lelaki di sebuah stesen minyak di sini semalam.
Malah dalam kejadian itu mangsa yang berusia 38 tahun melalui detik mencemaskan apabila ibunya berusia 68 tahun yang berada dalam kereta turut dibawa sebelum ditinggalkan kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, kejadian pada pukul 3.10 petang itu berlaku ketika mangsa bersama bapa dan ibunya berhenti mengisi petrol di stesen minyak berkenaan.
“Ketika mengisi petrol ayah dan ibu pengadu (mangsa) pergi ke tandas dan setelah selesai mengisi petrol pengadu meletakkan kereta sebelum emaknya masuk ke dalam kereta.
“Tiba-tiba pengadu mendengar emaknya menjerit meminta tolong dan mendapati keretanya dilarikan,” katanya di sini hari ini.
Tambah beliau, emak mangsa diturunkan di tepi jalan kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian dan berada dalam keadaan selamat.
Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
“Hasil siasatan mendapati suspek datang ke stesen minyak itu dengan sebuah motosikal jenis Honda EX-5 sebelum melarikan kereta pengadu.
“Semakan terhadap motosikal itu mendapati nombor pendaftaran yang digunakan adalah palsu. Semakan nombor casis menunjukkan kenderaan itu hilang sebelum ini,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE