‘Tutup muka terdedah perut, pengarah direman kes rasuah’

Oleh – Syeikh Baran


‘Tutup muka terdedah perut, pengarah direman kes rasuah’
Pegawai SPRM membawa pengarah jabatan sebuah agensi kerajaan (tengah) semasa tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Bharu untuk prosiding reman hari ini. Foto oleh ROSALWANI CHE SOH/ KOSMO!

Seorang pengarah jabatan sebuah agensi kerajaan direman dua hari bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah untuk meluluskan kerja-kerja kontrak kepada pelanggan bernilai hampir ratusan ribu ringgit.

Perintah reman yang bermula hari ini hingga esok terhadap lelaki berusia 58 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Rais Imran Hamid di Mahkamah Majistret di sini.



Tahanan reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 16 dan 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan mendapatkan perintah reman bagi menjalankan siasatan lanjut.

Terdahulu, lelaki itu yang memakai baju lokap berwarna jingga tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Bharu di sini kira-kira pukul 8.20 pagi dengan menaiki van SPRM.

Dalam usaha untuk mengelakkan wajahnya dirakamkan jurugambar, lelaki tersebut menutup mukanya dengan baju sehingga menampakkan bahagian perut.

Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang pengarah sebuah agensi kerajaan ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah bagi meluluskan kerja-kerja kontrak kepada pelanggan bernilai hampir ratusan ribu ringgit.



Menurut sumber, lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu dicekup selepas memberi keterangan di pejabat SPRM di sini petang semalam.

“Siasatan awal mendapati, lelaki itu meminta wang suapan sebagai imbuhan bagi meluluskan kerja-kerja kontrak kepada pelanggan di sebuah jabatan kerajaan,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button