Trafik sesak hampir 10 km, lori tangki terbabas
Oleh – Syeikh Baran
Sebuah lori tangki minyak terlibat dalam kemalangan di Kilometer 243, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah Utara menyebabkan aliran trafik sesak hampir 10 kilometer dari Pedas ke Senawang, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, sepasukan 14 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau dan Senawang dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat pada pukul 12.29 tengah hari.
Menurutnya, kemalangan melibatkan sebuah lori tangki membawa muatan minyak sawit terbabas melanggar pembahagi jalan.
“Terdapat seorang mangsa lelaki Melayu berusia 30an tersepit di bahagian pemandu berjaya dikeluarkan oleh pasukan keluaran operasi,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Sementara itu, PLUS dalam satu makluman di media sosial menyatakan kemalangan melibatkan lima buah kereta dan lori tangki di lokasi berkenaan.
Menurutnya, sehingga pukul 2.48 petang, lorong tengah arah selatan, lorong kanan dan tengah arah utara masih terhalang.
“Trafik sesak 9.5 kilometer arah utara dan perlahan 8.0 kilometer arah selatan. Sila rancang perjalanan anda. Pandu cermat. Harap maklum,” kongsinya.
Sumber – KOSMO! ONLINE