Pegawai perubatan bebas tuduhan cabul pesakit

Oleh – Syeikh Baran


Gambar Hiasan

Seorang pegawai perubatan dilepas dan dibebaskan daripada sabitan dan hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan mencabul dan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang pesakit wanita yang diperiksanya kerana masalah kegatalan kulit, lima tahun lalu.



Mahkamah Tinggi Temerloh, Pahang memutuskan demikian terhadap lelaki berusia 36 tahun itu selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret Jerantut yang mensabit dan menghukumnya bagi kedua-dua pertuduhan.

Pertuduhan pertama, pegawai perubatan itu didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang ketika itu berusia 20 tahun dengan niat untuk mengaibkannya manakala pertuduhan kedua melakukan kelucahan melampau terhadap gadis yang sama.

Kedua-dua perbuatan didakwa dilakukan kira-kira pukul 3.20 petang, 6 September 2019 di bilik rawatan sebuah klinik kesihatan di Jerantut.

Tuduhan pertama, Majistret Muhammad Najib Ismail menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun manakala pertuduhan kedua, hukuman penjara 18 bulan bermula dari tarikh keputusan pada 9 Jun 2023. Kedua-dua hukuman berkuat kuasa serentak.



Mahkamah Tinggi membenarkan rayuannya setelah berpuas hati, sabitan itu tidak selamat untuk dikekalkan kerana keterangan mangsa tidak disokong oleh keterangan saksi lain yang boleh mengesahkan fakta sebenar yang berlaku di antara pegawai perubatan itu dan pesakitnya.

Hakim Roslan Mat Nor berpendirian, keterangan saksi-saksi lain adalah berpunca daripada keterangan mangsa, bukannya daripada keterangan bebas.

Ujar hakim berkenaan, naratif kejadian yang melibatkan mangsa dan pegawai perubatan yang memeriksanya tidak meyakinkan untuk dijadikan asas terhadap sabitan di bawah kedua-dua pertuduhan.

Perayu dalam pembelaannya menyatakan tidak mengingati pernah merawat mangsa kerana tiada kad rawatannya dikemukakan serta menafikan setiap perlakuan yang didakwa termasuk menggunakan kondom untuk merawat pesakitnya.



Hakim Roslan selanjutnya berpendapat, majistret berkenaan gagal mengambil kira keterangan berhubung tempat kejadian dan kewujudan individu-individu lain di situ serta kewajaran ia berlaku berdasarkan keadaan ketika itu.

“Apa yang lebih menarik dalam kes ini ialah tiada keterangan daripada pegawai perubatan yang menyelia perayu untuk mengesahkan prosedur rawatan apabila ia melibatkan pesakit wanita dan pegawai perubatan lelaki.

“Tiada keterangan mengenai prosedur klinikal dan tatacara rawatan yang sepatutnya diberikan perayu kepada mangsa bagi menyokong dakwaa bahawa tindakan yang dikatakan dilakukan itu melampaui batas prosedur rawatan.

“Ketiadaan keterangan itu menyebabkan mahkamah ini tidak boleh membuat kesimpulan bahawa tindakan perayu terhadap mangsa dikategorikan sebagai melampaui prosedur rawatan dan prosedur klinikal yang membolehkannya didakwa atas pertuduhan tersebut,” ujar beliau dalam alasan penghakiman bertarikh 29 Mei lalu yang diperoleh pihak media melalui laman web mahkamah.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button