Zayn Rayyan: Ada keterangan tidak selari, konsisten – KP Selangor

Oleh – Syeikh Baran


Zayn Rayyan: Ada keterangan tidak selari, konsisten – KP Selangor
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

Polis Selangor memaklumkan terdapat beberapa keterangan saksi yang tidak selari dan konsisten berhubung kes pembunuhan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, di sekitar Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, Disember tahun lalu.

Sehubungan itu kata Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, pihaknya terpaksa menyemak semula segala keterangan serta maklumat bagi melengkapkan kertas siasatan berhubungan kes tersebut.



“Pelbagai usaha kita ambil untuk menyelesaikan kes ini. Ada perkara yang perlu disemak semula, yang tidak selari dan tidak konsisten membabitkan keterangan saksi dan sebagainya.

“Berhubung sambung reman selama enam hari terhadap kedua ibu bapa mangsa semalam, ia bertujuan untuk melengkapkan siasatan.

“Lain perkara (tindakan selanjutnya), sama ada kita akan tuduh atau tahan sesiapa, ia bergantung kepada hasil siasatan dan siasatan dalam tempoh ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Majlis Pelancaran Taman Angkat Amanita Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor 2024, di Taman Rakan, di sini, hari ini.



Jelas beliau, seramai tiga individu iaitu bekas pengasuh dan dua ahli keluarga telah dipanggil untuk dirakam keterangan.

“Dalam tempoh siasatan enam hari ini, masih awal untuk saya maklumkan apa akan jadi. Kita akan lengkapkan siasatan dan akan rujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Kita akan rujuk setelah kita berpuas hati dan dah lengkapkan siasatan. Siasatan ini mungkin boleh lengkap dalam tempoh reman enam hari atau mungkin ada lagi tindakan yang melibatkan orang lain ataupun benda lain,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau juga memberitahu bahawa peguam bela bagi ibu bapa Zayn Rayyan diberi ruang untuk berjumpa mengikut masa yang ditetapkan.



“Peguam memang ada ruang untuk berjumpa. Cuma kita yang akan menentukan bila mereka boleh jumpa dalam tempoh reman itu.

“Jadi, pihak polis ada budi bicara untuk menentukan bila peguam ini boleh jumpa,” jelasnya.

Semalam, ibu bapa Zayn Rayyan disambung reman selama enam hari mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan lanjut.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button