Dua nenek gah bermotosikal berkuasa besar membelah lebuh raya

Oleh – Syeikh Baran


Dua nenek gah bermotosikal berkuasa besar membelah lebuh raya
Mimi (kiri) dan Nor Hanani bersama motosikal berkuasa besar bersiap sedia sebelum berlepas sertai konvoi 30 ‘bikers’ di Tunjong, Negara. NSTP Nik Abdullah Nik Omar

Kehadiran dua wanita di tengah-tengah rombongan konvoi motosikal berkuasa besar menelusuri jalan raya sudah pasti menarik perhatian ramai.

Bukan menjadi pembonceng, Mimi Musa, 49, dan Nor Hanani Yusof, 43, sebaliknya mengemudi motosikal masing-masing dengan penuh santai menuju ke destinasi dirancang meskipun kedua-duanya sudah bergelar nenek.



Bagi Mimi, kegilaannya terhadap motosikal berkuasa besar wujud ketika di awal perkahwinan kerana suaminya, Azman Azhari, 47, juga mempunyai minat yang sama.

“Sebelum ini saya kerap menemani suami mengikuti apa sahaja konvoi dengan hanya sebagai pembonceng, namun sejak tiga tahun lalu, saya sudah membeli jentera sendiri iaitu Harley Davidson jenis Street Glide.

“Tak dapat digambarkan bagaimana seronoknya apabila dapat memiliki sendiri motosikal berkuasa besar. Apabila mempunyai minat sama dengan suami, kereta di rumah lebih kerap tersadai kerana masa kami banyak diluangkan dengan berkonvoi bersama rakan,” katanya.

Mimi berkata, selain dalam negara, dia juga sering enunggang motosikal hingga ke Thailand dan kedua anaknya yang berusia 18 serta 27 tahun turut mempunyai minat sama.



Nenek kepada dua cucu itu berkata, jadi suri rumah sepenuh masa menjadi bonus buatnya untuk bebas menyertai konvoi bersama suaminya membelah lebuh raya pada bila-bila masa.

“Yang penting, sebaik enjin dihidupkan dan motosikal bergerak, ia seakan-akan satu kepuasan luar biasa buat kami peminat motosikal berkuasa besar,” katanya yang juga ahli kelab motosikal berkuasa besar iaitu Brotherhood 2Nation.

Dua wanita ini dalam perjalanan ke Melaka untuk memeriahkan Malaysia Bike Week di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), tiga hari bermula 14 Jun ini sempena Bulan Permotoran Malaysia.

Acara pelepasan konvoi 30 ‘bikers’ ini diadakan di Tunjong, di sini dan disempurnakan Penaung Yayasan Seri Negara (YSN), Tan Sri Dr Mazlan Lazim juga bekas Timbalan Ketua Polis Negara, semalam.



 

Mazlan (tengah) bersama peserta konvoi sebelum berlepas bagi memeriahkan Malaysia Bike Week di MITC. - NSTP Nik Abdullah Nik Omar
Mazlan (tengah) bersama peserta konvoi sebelum berlepas bagi memeriahkan Malaysia Bike Week di MITC. – NSTP Nik Abdullah Nik Omar

Keterujaan turut dikongsi Nor Hanani yang memiliki motosikal berkuasa besar jenis QJ SRV250 dan dibeli sejak dua tahun lalu.

Nor Hanani berkata, sebelum memiliki motosikal sendiri, juga menjadi pembonceng motosikal yang ditunggangi suaminya, Mohamad Nor Amin Ahmad, 42, apabila menyertai sebarang konvoi dianjurkan kelab.

“Jika membonceng, kita hanya duduk dan kerap mengantuk jika perjalanan jauh, tapi jika menunggang sendiri, kita fokus pada pemanduan, ia satu cabaran tapi seronok,” katanya nenek dua cucu ini.



Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button