Peniaga didakwa pukul lelaki dengan kayu

Oleh – Syeikh Baran


Peniaga didakwa pukul lelaki dengan kayu
Dinie Asyraf (kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini untuk didakwa. – Foto oleh ROSALWANI CHE SOH / KOSMO!

Seorang peniaga dalam talian didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan dengan sengaja memukul seorang lelaki hingga cedera menggunakan kayu, pada minggu lalu.

Tertuduh, Dinie Asyraf Mohamad Azhar, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.



Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Azharuddin Mohd Yusoff, 30, dengan menggunakan kayu. Perbuatan itu dilakukan di kawasan sebuah sekolah di Banggu di sini kira-kira pukul 5.30 petang.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin manakala tertuduh diwakili peguam bela Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ariyani Mohd. Amin.

Terdahulu, Syazalia mencadangkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin atas kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh.

Ariyani bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan kepada RM 3,000 dengan alasan tertuduh perlu menanggung isteri yang tidak bekerja dan dua anak yang masih kecil.



Rais kemudiannya membenarkan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 28 Julai depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan. Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button