Korea Selatan batal sekatan eksport pelitup muka
SEOUL, 20 Okt — Korea Selatan pada Selasa menyatakan akan menarik balik larangan eksport kain bukan tenunan minggu ini yang digunakan untuk menghasilkan pelitup muka apabila bekalan bahan dan pelitup muka domestik stabil, lapor Agensi Berita Yonhap.
Berdasarkan keputusan itu, negara akan membatalkan peraturan yang melarang syarikat daripada mengeksport lebih daripada 15 peratus pengeluaran kain bukan tenunan mereka mulai Jumaat, menurut Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga.
Awal tahun ini, negara kehabisan kain penapis bukan tenunan melt blown di tengah-tengah permintaan pelitup muka yang melambung tinggi pada tahap awal pandemik COVID-19, mendorong negara mengimport bahan tersebut.
Negara ini melaporkan kes COVID-19 pertamanya pada 20 Januari. Setakat ini, Korea Selatan telah melaporkan lebih daripada 25,000 kes virus.
Pada Mac, Korea Selatan melaksanakan dasar skim catuan pelitup muka dengan setiap orang hanya dapat membeli sejumlah topeng muka seminggu. Dasar itu kemudiannya dibatalkan pada Jun.
Dalam laporan berasingan, kementerian keselamatan ubat-ubatan negara menyatakan pengeluaran pelitup muka Korea Selatan mencapai 300 juta unit dalam tempoh 28 September hingga 11 Oktober.
Pengeluaran pelitup muka mingguan Korea Selatan adalah sekitar 100 juta tahun ini hingga akhir Mei.
Harga pelitup muka domestik juga kekal pada tahap stabil, tambahnya.
—BERNAMA