Kanak-kanak Orang Asli dikhuatiri lemas dihanyut arus Sungai Nenggiri

Oleh – Syeikh Baran


Kanak-kanak Orang Asli dikhuatiri lemas dihanyut arus Sungai Nenggiri
Anggota bomba menjalankan operasi SAR seorang kanak-kanak Orang Asli yang dikhuatiri lemas di Sungai Nenggiri, Gua Musang petang tadi. FOTO IHSAN BOMBA

Kegembiraan seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli yang mandi-manda bersama keluarganya di Sungai Nenggiri dekat Kampung Setawar, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di sini hari ini berakhir tragedi apabila dia dikhuatiri lemas di sungai itu.

Mangsa, Syamely Nur Aleh Qarni Sham, 7, dipercayai dihanyutkan arus sungai kira-kira pukul 3.30 petang tadi.



Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) RPS Kuala Betis, Sudin Rigen berkata, mangsa bersama ahli keluarganya pulang ke Kampung Setawar untuk menyambut Hari Raya Aidiladha.

Katanya, mangsa dipercayai lemas selepas mandi di sungai yang terletak di belakang rumahnya.

“Ahli keluarga telah meminta bantuan anggota keselamatan seperti polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mencari mangsa.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan oleh anggota keselamatan, namun mangsa masih belum dijumpai setakat malam ini,” katanya.



Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Nor Azizi Che Noh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.25 petang.

Katanya, seramai 11 anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan SAR di persisiran sungai.

“Pihak bomba turut meminta bantuan unit anjing pengesan (K9) untuk membantu operasi.

“Operasi terpaksa ditangguhkan kira-kira pukul 7.38 malam tadi atas faktor cuaca gelap dan arus deras,” katanya.



Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button