10 hari labur mata wang digital, duit RM217,000 lesap
Oleh – Syeikh Baran
Akibat tertarik dengan pulangan pelaburan sehingga 20 peratus, seorang pengurus ladang rugi RM217,000 dalam tempoh hanya 10 hari selepas menyertai pelaburan mata wang digital yang tidak wujud.
Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, lelaki berusia 54 tahun itu mula terjebak dengan pelaburan itu setelah berurusan dengan seorang individu melalui pautan My Jodoh yang kemudiannya berhubung menggunakan aplikasi WhatsApp pada 4 Jun.
Katanya, suspek telah menawarkan kepada mangsa satu pelaburan mata wang digital dan memberi pautan laman web member.101quantum.com bagi membolehkan mangsa memasukkan butiran diri serta email pada platform tersebut.
“Pada 8 dan 9 Jun, mangsa yang tertarik dengan pulangan pelaburan sehingga 20 peratus itu telah membuat transaksi kepada dua akaun berbeza sebanyak RM105,500.
“Tidak lama selepas itu, mangsa telah membuat semakan ke atas akaun kripto miliknya dan mendapati terdapat keuntungan sebanyak RM12,222.82 sebelum dihubungi suspek yang menyarankan membuat pelaburan lagi jika ingin mendapatkan keuntungan lebih besar.
“Mangsa yang mula tertarik dan percaya dengan pelaburan itu kemudiannya membuat transaksi sehingga 14 Jun kepada tiga akaun berbeza secara berperingkat sebanyak RM217,000,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Shahrulanuar lagi, ketika mangsa ingin mengeluarkan semua keuntungan, suspek telah memaklumkan bahawa akaun kripto mangsa disekat dan jika ingin membuka sekatan perlu membayar sebanyak RM225,000 lagi.
Ujarnya, merasakan dirinya tertipu dan curiga dengan pelaburan itu, mangsa kemudiannya bertindak membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada 20 Jun.
Sumber – KOSMO! ONLINE