Ramai tak serik hadap jem di Cameron Highlands

Oleh – Syeikh Baran


Ramai tak serik hadap jem di Cameron Highlands
Tangkap layar keadaan lalu lintas di sekitar Brinchang menuju ke Kea Farm sesak dengan limpahan kenderaan pengunjung.

Seolah-olah tidak serik dengan kesesakan lalu lintas, lokasi peranginan terkenal, Cameron Highlands masih lagi menjadi pilihan utama orang ramai setiap kali cuti hujung minggu panjang dan cuti sekolah.

Menerusi sesi siaran langsung di platform TikTok seorang penduduk di Tanah Tinggi itu menunjukkan kesesakan luar biasa dari Brinchang menuju ke Kea Farm, Cameron Highlands sejak kelmarin.



Menurutnya, pada hari biasa, perjalanan empat kilometer dari Brinchang ke Kea Farm hanya mengambil masa 30 hingga 40 minit, namun boleh mencecah sehingga 1 jam 30 minit pada musim cuti.

Selain itu, ada pengunjung yang terpaksa tidur di merata-rata tempat selepas ditipu pengusaha rumah tumpangan yang secara tiba-tiba menghilangkan diri sebaik sampai di tempat peranginan tersebut.

“Meriahnya Cameron Highlands hari ini, walaupun sudah ada jalan sehala dua ‘lane’ (lorong), namun jalan masih penuh dengan kenderaan tapi syukurlah ‘jammed’ (sesak) bergerak.

“Ramai pengunjung yang terpaksa berputih mata dan tidur dalam kereta selepas ditipu pengusaha rumah tumpangan yang tetap mengambil tempahan berserta deposit walaupun tiada bilik kosong,” ujarnya.

Tambahnya, bagi pengunjung yang mahu mengelakkan kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands, lebih baik berkunjung ke sini ketika hari biasa dan bukan cuti sekolah.



“Kalau nak datang Cameron Highlands, datanglah pada Selasa, Rabu dan Khamis, ‘jammed’ tetap ada, tapi tidak seteruk ini. Tapi kalau sudah hobi suka datang hari-hari, nikmati sajalah ‘jammed’ itu.

“Satu lagi alternatif, sewalah motosikal dan elakkan bawa kereta naik ke Tanah Tinggi kalau mahu seronok dan tidak stres hadap ‘jammed’,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button