Port lumba haram Klang kena pukat

Oleh – Syeikh Baran


Port lumba haram Klang kena pukat
Antara penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi itu. – Foto oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED / KOSMO!

Persiaran Raja Muda Musa di sini, yang menjadi ‘port’ utama lumba haram motosikal pada malam minggu digempur polis dengan menahan seramai 150 individu, awal pagi tadi.

Kesemua mereka termasuk beberapa wanita berusia 15 hingga 30 tahun itu diberkas selepas 16 jalan termasuk laluan ‘tikus’ di sekitar Kompleks Sukan Pandamaran berkenaan dikepung, kira-kira pukul 3 pagi.



Serbuan dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor melibatkan 69 anggota dan pegawai.

Tinjauan Kosmo! mendapati kawasan itu dipenuhi kumpulan mat rempit yang melakukan aksi berbahaya dan berlumba di jalan sejauh tiga kilometer (km) tersebut bermula pukul 12 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, serbuan menerusi Operasi Bersepadu Samseng Jalanan itu dilakukan hasil aduan awam dan risikan pihaknya selama tiga minggu mengenai aktiviti lumba haram di jalan utama tersebut.

Jelas beliau, sebanyak 125 motosikal diperiksa pihaknya sepanjang operasi selama hampir lima jam berkenaan.

“Seramai 150 individu ditahan termasuk enam lelaki berusia lingkungan 20-an yang disyaki berlumba haram manakala tiga lagi berada di bawah pengaruh alkohol.



“Lebih 200 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu dan cukai jalan serta mengubahsuai motosikal,” katanya hari ini.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button