Beli Mykad palsu RM250, tiga pengawal keselamatan ditahan
Oleh – Syeikh Baran
Gara-gara memiliki kad pengenalan palsu, tiga pengawal keselamatan warga Filipina ditahan di sebuah premis perniagaan sekitar Puchong, Selangor semalam.
Serbuan Ops Pengawal Keselamatan itu turut membongkarkan Mykad palsu yang diperoleh suspek dibeli daripada ejen dengan harga RM250.
Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkata, operasi dijalankan susulan pemantauan dan risikan selama dua minggu di lokasi terbabit.
“Tiga orang pekerja pengawal keselamatan ditahan disyaki menggunakan salinan kad pengenalan kad pengenalan palsu sebagai indentiti mereka di sekitar Puchong, Selangor.
“Kesemua mereka yang di tahan berumur antara 27 tahun hingga 55 tahun dan kesemuanya merupakan warga Filipina,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, ketiga-tiga suspek terbabit tidak mempunyai sebarang hubungan antara satu sama lain ditahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.
“Salah seorang suspek akan didakwa di Mahkamah di mana jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
“Dua lagi suspek akan diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE