20 akaun pasangan influencer RM740,000 terbabit dana derma awam dibeku

Oleh – Syeikh Baran


20 akaun pasangan influencer RM740,000 terbabit dana derma awam dibeku
Pasangan suami isteri yang merupakan pempengaruh disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan kira-kira 20 akaun perbankan membabitkan nilai lebih RM740,000 susulan siasatan penyelewengan dana derma awam melibatkan pasangan pempengaruh bersama dua lagi individu.

Menurut sumber, kesemua akaun yang dibekukan itu adalah milik individu serta syarikat dipercayai mempunyai kaitan dengan dana yang diterima daripada orang ramai menggunakan satu platform kutipan derma dalam talian.



“Sejak siasatan dijalankan, SPRM menerusi Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) telah menyita dan membekukan hampir 20 akaun milik individu serta syarikat bagi membantu siasatan dijalankan.

“Kemungkinan akan ada beberapa lagi akaun perbankan yang akan turut disita serta dibekukan oleh SPRM,” katanya hari ini.

Sementara itu, Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan pembekuan beberapa akaun milik individu serta syarikat susulan siasatan SPRM terhadap pasangan pempengaruh terbabit.

“Sitaan dan pembekuan akaun-akaun terbabit dibuat mengikut Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001),” ujarnya.



Semalam Kosmo! melaporkan, SPRM menyambung reman empat individu termasuk pasangan suami isteri yang merupakan pempengaruh kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam.

Perintah sambung reman selama tiga hari sehingga esok dikeluarkan oleh Majistret Siti Zahirah Zaidon di Mahkamah Majistret Putrajaya semalam.

Permohonan reman itu dilakukan SPRM berikutan tempoh asal reman kesemua suspek tamat pada semalam.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button