Peniaga terlepas hukuman gantung, diganti penjara 36 tahun, 12 sebatan

Oleh – Syeikh Baran


Peniaga terlepas hukuman gantung, diganti penjara 36 tahun, 12 sebatan
ASNI (bergari) terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Johor Bahru hari ini menggantikan dengan hukuman penjara 36 tahun beserta 12 sebatan kerana membunuh seorang pelancong Perancis pada tahun 2011.

Seorang peniaga dikenakan hukuman penjara selama 36 tahun dan 12 sebatan selepas Mahkamah Persekutuan yang bersidang di sini hari ini mengetepikan hukuman gantung terhadapnya atas pertuduhan membunuh seorang pelancong warga Perancis, Mei 2011.

Hukuman penjara ke atas Asni Omar, 49, dikenakan bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 21 Julai 2011.



Keputusan tersebut dibuat panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah.

Asni didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Stephanie Foray yang ketika itu berusia 30 tahun di sebuah rumah di Kampung Tekek, Pulau Tioman, antara 8 malam 10 Mei dan tengah hari 12 Mei 2011.

Mayat Foray dijumpai kira-kira tiga bulan kemudian selepas ditanam di dalam sebuah gua di Pulau Tioman.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noorhisham Mohd. Jaafar manakala tertuduh diwakili peguam, Kee Wie Lon yang turut dibantu Ee Gen You.



Pada 16 Ogos 2016, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya mengekalkan hukuman mati kepada Asni selepas rayuan akhirnya ditolak panel lima hakim anggota diketuai Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Arifin Zakaria yang memutuskan bahawa tiada merit dalam rayuan tersebut.

Empat lagi hakim yang bersidang dalam panel itu ialah Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Abu Samah Nordin, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Datuk Balia Yusof Wahi.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button