40 biji kelapa ini milik siapa?
Oleh – Syeikh Baran
Gara-gara gagal memberi penjelasan berkaitan pemilikan 40 biji kelapa, dua lelaki terpaksa meringkuk di penjara selama 14 hari selepas mengaku bersalah atas pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret T. Ashvinii terhadap V. Supramany, 50, dan Muhammad Amir Rashid Masri, 34, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara terhadap kedua-dua tertuduh itu berjalan bermula dari tarikh ditangkap pada 12 Julai lalu.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa secara bersama berada dalam milikan dua karung guni berisi 40 biji kelapa di mana mereka tidak dapat memberi penjelasan memuaskan bagaimana mendapatkan harta itu yang disyaki diperoleh secara curang.
Supramany yang tidak bekerja manakala rakannya yang bekerja sendiri didakwa melakukan kesalahan tersebut di Ladang Kelapa Alpha Bernam, Hutan Melintang dalam daerah Bagan Datuk pada pukul 8 malam, 12 Julai 2024.
Timbalan Pendakwa Raya, Izzudin Fakri Hamdan mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Faustina Francis memohon agar dikenakan hukuman ringan atas alasan tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menanggung keluarga.
Sumber – KOSMO! ONLINE