‘Saya ada bagi kunci, tetapi dia tidak mahu masuk’

Oleh – Syeikh Baran


‘Saya ada bagi kunci, tetapi dia tidak mahu masuk’
ROSLAN (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan mengabaikan anak lelakinya tidur di kaki lima rumah flat di Pasir Gudang, awal bulan lalu. – Foto BAZLAN IBRAHIM / KOSMO!

Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak pengakuan bersalah seorang bapa yang didakwa mengabaikan anaknya dengan membiarkannya remaja itu tidur di kaki lima kediaman selama dua malam pada minggu lalu.

Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim membuat keputusan itu selepas berpendapat pengakuan bersalah Roslan Abas, 56, itu dibuat dengan bersyarat.



Roslan sebagai orang yang mempunyai jagaan terhadap mangsa berusia 14 tahun didakwa mengabaikan remaja tersebut dengan membiarkan dia tidur di kaki lima rumah mereka di Pasir Gudang di antara 7 Julai hingga 9 Julai lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ketika dibenarkan mahkamah untuk memberi penjelasan selepas fakta kes dibacakan, Roslan yang merupakan seorang pengutip barangan lusuh berkata anak lelakinya itu seorang yang tidak mendengar kata.

“Dia (mangsa) suka macam itu, tidak boleh dipukul, saya cakap tidak mahu dengar. Setiap malam saya tidur lewat, tetapi saya selalu intai ke luar, dia tiada di depan rumah.



“Saya ada bagi kunci, tetapi dia tidak mahu masuk. Tak mengapa, saya faham, saya mengaku salah sahajalah,” katanya.

Che Wan Zaidi kemudian memberi peluang kepada tertuduh untuk dibicarakan selepas menolak pengakuan bersalah tertuduh.

“Pengakuan bersalah perlu dibuat tanpa syarat dan tertuduh perlu akui fakta kes. Jika begini, kes akan dibicarakan dan mahkamah beri peluang pada kamu untuk buktikan kamu tidak bersalah,” jelasnya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 serta syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu saksi.



Mahkamah turut menetapkan tarikh 29 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikannya peguam.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button