Dewan Rakyat: Bantuan RM200 cukup tampung pertambahan kos diesel
Oleh – Syeikh Baran
Jumlah bantuan tunai subsidi diesel RM200 melalui Budi Madani mencukupi untuk menampung kos diesel bulanan tambahan bagi 80 peratus isi rumah di Semenanjung Malaysia.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, kerajaan bagaimanapun akan menilai semula jumlah bantuan tersebut sekiranya harga diesel mencatatkan peningkatan pada masa hadapan.
“Kerajaan akan mengkaji jumlah pemberian subsidi ini dari semasa ke semasa. Ketetapan jumlah bantuan RM200 sebulan adalah hasil kajian mendalam dan rundingan dengan pelbagai pihak.
“Berdasarkan data Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022, dianggarkan RM200 mencukupi untuk menampung kos diesel bulanan tambahan bagi 80 peratus isi rumah
“Penambahbaikan akan dibuat dari semasa ke semasa jika perlu bagi memastikan golongan benar-benar layak terus mendapat perhatian kerajaan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) mengenai ketetapan jumlah bantuan tunai Budi Madani sekiranya harga diesel meningkat pada masa hadapan.
Terdahulu Hui Ying berkata, kos pembangunan Budi Madani tidak membabitkan sebarang peruntukan tambahan kerana ia menggunakan kepakaran dalaman dalam kalangan pegawai kerajaan tanpa melibatkan khidmat perunding luar.
“Oleh itu, isu tender terbuka atau tidak, tidak wujud memandangkan menggunakan infrastruktur sedia ada,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE