Lelaki tunjuk isyarat lucah kepada polis didenda RM5,450

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki tunjuk isyarat lucah kepada polis didenda RM5,450
TERTUDUH mengaku bersalah mengeluarkan kata-kata kesat dan menunjukkan isyarat lucah kepada polis, 17 Jun lalu. – foto oleh SYAFEEQ AHMAD

Tindakan seorang operator kilang mengeluarkan kata-kata kesat dan menunjukkan isyarat lucah terhadap anggota polis membawa padah apabila didenda RM5,450 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, J.Daniel, 31, membuat pengakuan bersalah sejurus tiga pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.



Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati bersalah berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis yang sedang bertugas kira-kira pukul 12.30 pagi di Balai Polis Banda Hilir, 17 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 94 Akta Polis 1967 yang memperuntukan hukuman denda sehingga RM500 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati bersalah mengeluarkan kata-kata kesat dan menunjukkan isyarat lucah terhadap dua anggota polis yang sedang bertugas.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.



Selain itu, Daniel juga didapati bersalah kerana telah menghalang tugas dua anggota polis yang menjalankan fungsi awam.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan tertuduh pada pukul 12.25 pagi di lampu isyarat Hotel Doubletree di persimpangan Jalan Syed Abdul Aziz pada tarikh sama.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.



Peguam Daniel Savarimutu yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu hukuman denda diberikan dengan alasan anak guamnya yang hanya bekerja sebagai operator kilang, selain menjaga ibunya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Sharda menjatuhkan hukuman denda RM450 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda bagi pertuduhan pertama dan denda RM3,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda bagi pertuduhan kedua.

Tertuduh juga diperintahkan membayar denda sebanyak RM2,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda bagi pertuduhan ketiga. Tertuduh kemudian membayar kesemua denda berkenaan.

Sumber -KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button