Pemandu Myvi pandu melulu rupanya positif dadah

Oleh – Syeikh Baran


Pemandu Myvi pandu melulu rupanya positif dadah
Tangkap layar video berkenaan.

Tindakan orang awam membantu mengejar sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu secara berbahaya di Jalan Batu Ferringhi, di sini semalam akhirnya membawa kepada penangkapan seorang lelaki tempatan.

Tangkapan suspek lelaki berusia 30-an itu dilakukan sepasukan polis selepas bertindak mengejarnya hampir 7 kilometer (km), dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 petang.



Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid berkata, pihaknya telah mengesan beberapa klip video tular di media sosial memaparkan sebuah kereta dipandu melulu di Jalan Batu Ferringhi menghala ke Teluk Bahang yang turut menyebabkan berlakunya kemalangan melibatkan beberapa buah kenderaan lain.

“Dalam video tersebut, anggota polis dan beberapa orang awam dilihat cuba mengarahkan kereta yang dipandu seorang lelaki tempatan untuk berhenti namun pemandu berkenaan enggan memberhentikan kenderaannya.

“Pihak polis kemudiannya telah berjaya menangkap suspek dan hasil pemeriksaan, pihak polis telah menjumpai bahan-bahan disyaki dadah jenis ganja dan syabu di dalam beg silang milik suspek,” katanya, di sini hari ini.

Beritahu beliau, semakan pihak polis juga mendapati suspek memiliki satu rekod tangkapan bersangkut kes jenayah lampau dan dua rekod tangkapan kes dadah.



“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine. Kes disiasat di bawah Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam pada itu, katanya lagi, pihak polis turut menjalankan siasatan selari ke atas suspek di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sumber – KOSMO! ONLINE

 



 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button