Bekas pensyarah didakwa sokong, miliki bahan berkaitan pengganas

Oleh – Syeikh Baran


Bekas pensyarah didakwa sokong, miliki bahan berkaitan pengganas
ABDULLAH didakwa menyokong dan memiliki bahan berkaitan kumpulan penganas Islamic State (IS) dan Daesh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini. – Foto BAZLAN IBRAHIM

Seorang bekas pensyarah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini semalam atas empat pertuduhan menyokong dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Islamic State (IS) dan Daesh.

Tertuduh, Abdullah Daud, 70, mengangguk faham selepas kesemua pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Fatimah Zahari, namun bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan oleh tertuduh.



Mengikut pertuduhan pertama, warga emas itu dituduh telah menggalakkan berlakunya perbuatan pengganas dengan cara menanamkan fahaman ideologi keganasan yang berkait kumpulan pengganas IS.

Abdullah turut didakwa membenarkan perjumpaan diadakan dalam rumahnya di Kampung Melayu Kangkar Tebrau, di sini bagi menggunakan rumahnya untuk menyokong aktiviti keganasan, antara 3 September 2023 hingga 14 April lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Abdullah didakwa masing-masing mengikut Seksyen 130G (a) dan Seksyen 130H (a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan dikenakan denda, jika disabit kesalahan.

Bekas pensyarah IPTA itu turut dituduh memiliki dua buah buku yang bertajuk Hakikat Dienul Islam dan Tarbiyah Jihadiyah serta dua buku digital dan dua buah video di dalam telefon bimbit yang merupakan bahan yang mempunyai kaitan dengan perlakuan perbuatan pengganas dan kumpulan pengganas IS.



Bagi pertuduhan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama.

Tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun atau dengan denda dan hendaklah dilucuthakkan mana-mana bahan tersebut.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button