4 suspek kes culik Albertine dibebaskan dengan jaminan polis
Oleh – Syeikh Baran
Empat suspek kes penculikan seorang kanak-kanak perempuan, Albertine Leo Jia Hui, 6, dibebaskan dengan jaminan polis pada hari ini.
Ini susulan tempoh tahanan reman selama empat hari terhadap dua lelaki dan dua wanita yang berusia antara 28 hingga 55 tahun tamat hari ini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, pihaknya tidak merancang untuk membuat permohonan kepada mahkamah untuk melanjutkan tempoh tahanan reman terhadap mereka.
“Reman tidak disambung, terima Kasih,” katanya ringkas ketika dihubungi pemberita hari ini.
Sabtu lalu, Jia Hui disedari hilang kira-kira pukul 8.30 malam ketika berlangsungnya Festival Bon Odori Johor di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri dekat sini.
Hasil siasatan yang dijalankan, polis menahan tiga suspek iaitu dua lelaki dan seorang wanita di sekitar Gelang Patah kira-kira 1.30 petang, Isnin lalu, bagi membantu siasatan.
Laporan orang hilang yang dibuat kemudian diklasifikasikan semula kepada kes penculikan sebelum seorang lagi suspek wanita ditahan kira-kira pukul 12.15 tengah malam, Selasa lalu.
Empat suspek daripada keseluruhan lima suspek yang ditahan berhubung kes itu kemudian dibenarkan ditahan reman selama empat hari bermula Selasa lalu hingga hari ini.
Suspek terakhir ditahan di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor pada pukul 4.45 pagi, Selasa lalu ketika bersama dengan mangsa penculikan itu.
Mangsa kini sudah kembali ke pangkuan keluarga semula selepas hampir 56 jam terpisah dan dilarikan dari Johor ke Selangor.
Sumber – KOSMO! ONLINE