Jutawan yang jadi papa kedana

Kuala Lumpur: “Saya pernah berpendapatan jutaan ringgit, menaiki penerbangan kelas pertama dan tidur di hotel lima bintang.

“Namun, dalam sekelip mata Allah SWT uji saya apabila semua itu hilang malah pernah hidup bergelandangan serta mengharapkan belas ihsan orang lain.”

Itu luahan Johari, 50-an, apabila melalui perubahan 180 darjah dalam kehidupannya selepas gagal dalam perniagaan kira-kira 10 tahun lalu. Akibatnya, dia bergelandangan selama setahun.



Johari berkata, ia tempoh paling sukar buat dirinya serta keluarga namun dia tetap bersyukur ‘peringatan’ Allah SWT itu diterimanya sebelum dijemput menghadap-Nya.

“Biasalah, ketika senang, adakalanya kita lupa siapa yang memberi rezeki dan nikmat. Ada yang mengatakan saya menjadi mangsa iri hati orang lain namun jika benar, saya sudah lama memaafkan individu terbabit.

“Ini semua aturan ditetapkan Tuhan dan saya sebagai hamba reda dan bersyukur,” katanya.

Menceritakan kisahnya, Johari berkata, dia serta keluarganya pernah hidup mewah, malah berkawan rapat dengan orang kenamaan.



“Namun, ia sekelip mata berubah apabila perniagaan dalam bidang hartanah seolah-olah ‘tidak menjadi’ menyebabkan saya kerugian besar kira-kira 10 tahun lalu.

“Lebih menyedihkan, isteri tercinta meninggal dunia pada 2008. Saya cukup ‘terduduk’ ketika itu malah bergelandangan kerana tiada sumber pendapatan selain untuk makan minum,” katanya.

Menurut Johari, yang menjadi kekuatannya ialah dua anaknya yang kini melanjutkan pengajian di universiti.

Kata Johari, selepas setahun bergelandangan, dia diambil bekerja sebagai penyelaras bagi kerja-kerja kebajikan di lapangan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).



“Saya kini tinggal di rumah pusaka. Saya lebih gembira sekarang ini, apa yang saya lakukan sekarang memberi erti cukup besar buat saya serta keluarga,” katanya.

Menurut Johari, aturan ditetapkan Allah SWT sangat hebat.

“Alhamdulillah, anak saya diberi rezeki untuk berjaya dalam hidup, Insya Allah.

“Anak perempuan kini menuntut dalam bidang seni bina di universiti di Perancis manakala anak bongsu di universiti tempatan,” katanya.



Menurut Johari, hubungan mereka kini bertambah erat.

“Walaupun hari ini saya tidak berpendapatan jutaan ringgit namun saya bahagia dan bersyukur kerana dapat membantu orang kurang bernasib baik terutamanya rakan-rakan gelandangan,” katanya.

Hmetro

KAF JAWAP ISU ‘SEDEKAH PAKSA’ YANG TULAR DI MEDIA SOSIAL



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button