Buruh diberkas bersama pil kuda, syabu bernilai lebih RM33,000

Oleh – Syeikh Baran


Buruh diberkas bersama pil kuda, syabu bernilai lebih RM33,000
Sebahagian dadah jenis pil kuda dan syabu yang dirampas daripada seorang buruh di Kuala Ibai, Kuala Terengganu hari ini.

Seorang buruh yang disyaki pengedar dadah berjaya diberkas polis di Jalan Tok Adis, Kuala Ibai di sini hari ini.

Suspek berusia 34 tahun ditahan di belakang pintu sebuah rumah di taman perumahan terbabit pada pukul 5.30 petang.



Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pemeriksaan pada beg silang dipakai lelaki itu telah menjumpai 10 peket plastik mengandungi pil berwarna merah dan hijau dipercayai pil kuda.

“Selain itu, lima peket lain pula didapati mengandungi pil berwarna merah juga disyaki pil kuda.

“Pemeriksaan pada 10 plastik yang disimpan di dalam bungkusan surat khabar didapati mengandungi serbuk berwarna putih dipercayai dadah jenis syabu,” katanya di sini hari ini.

Azli berkata, serbuan turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Axia dan wang tunai bernilai keseluruhan RM200.



Beliau berkata, nilai kesemua sitaan termasuk dadah dianggarkan lebih RM58,000 dan ujian urin mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

“Semakan mendapati suspek memiliki tujuh rekod jenayah lampau dalam kes penyalahgunaan dadah, meragut dan mencuri.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button