Lesen ali baba: Pembantu Penguat Kuasa DBKL didenda RM13,000

Oleh – Syeikh Baran


Lesen ali baba: Pembantu Penguat Kuasa DBKL didenda RM13,000
Gambar Hiasan

Seorang Pembantu Penguat Kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) didenda RM13,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan mendapatkan suapan berhubung lesen ali baba.

Hakim Azura Alwi menjatuhi hukuman itu terhadap Syahrul Riza Md. Yusof, 42, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas lima pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.



Tertuduh berdepan hukuman penjara 21 bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda berkenaan.

Syahrul Riza didakwa mendapatkan suapan berjumlah RM1,200 daripada seorang individu di Pasar Harian Selayang di sini antara 27 Disember 2022 dan 20 Jun 2023.

Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada masyarakat dan bukti mahkamah serius dalam membanteras rasuah daripada menjadi barah dalam masyarakat.

Syahrul Riza yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon hukuman ringan berbentuk denda.



“Saya menerima pendapatan RM3,000 sebulan mohon pertimbangan mahkamah bagi meringankan hukuman kerana saya menanggung dua anak dan menjaga ibu bapa selain komitmen (membayar) pinjaman,” katanya.

Sementara itu, dalam prosiding sama mahkamah memutuskan tiga pertuduhan tersebut sebagai ‘take into consideration’ (TIC) di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Pada Julai lalu, SPRM Kuala Lumpur menahan lapan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan dipercayai menerima rasuah daripada premis perniagaan yang beroperasi tanpa lesen sah serta menggunakan lesen ali baba.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button