Pesara pegawai tentera didakwa terima bayaran bina kediaman RM300,000

Oleh – Syeikh Baran


Pesara pegawai tentera didakwa terima bayaran bina kediaman RM300,000
Gambar Hiasan

Seorang pesara tentera berpangkat mejar jeneral didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan menerima RM300,000 bagi pembayaran pembinaan kediaman antara 2021 hingga 2022.

Bagaimanapun tertuduh Datuk Zainal Abdul Manaf, 61, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.



Mengikut pertuduhan pertama dan kedua tertuduh memegang jawatan sebagai Asisten Ketua Staf Material di sebuah pasukan pertahanan (ketika itu) didakwa menerima untuk dirinya iaitu pembayaran pembinaan rumah bernilai RM300,000 tanpa balasan daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Seksyen 5, Wangsa Maju di sini masing-masing pada 22 Disember 2021 dan 15 Mac 2022.

Justeru bagi kedua-dua pertuduhan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Aznika Mohd. Anas memohon jaminan RM100,000 bagi kedua-dua pertuduham berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Putrajaya setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga selesai perbicaraan.



Bagaimanapun, peguam Simret Singh yang mewakili Zainal memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan tertuduh dan isterinya mempunyai penyakit darah tinggi yang memerlukan rawatan di pusat perubatan swasta selain menanggung perbelanjaan keluarga.

“Sepanjang siasatan, tertuduh juga memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa,” kata peguam itu.

Selepas mendengar makluman kedua-dua pihak, Hakim Suzana menetapkan jaminan RM35,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan dua syarat seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 26 September ini untuk sebutan semula.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button