Api sampah merebak kena rumah
Oleh – Syeikh Baran
Gara-gara membakar sampah menyebabkan sebuah rumah peneroka di Felda Raya Jengka 14 di sini musnah 100 peratus dalam kejadian kebakaran kira-kira pukul 7.30 malam semalam.
Pemilik rumah Cik Pian Hassan, 50, berkata dalam kejadian semalam percikan api daripada sampah terkena tilam yang dijemur di beranda rumah yang kemudiannya merebak dan memusnahkan rumah separuh kekal diperbuat daripada kayu itu.
“Saya panik kerana api cepat benar merebak ke bahagian tengah rumah menyebabkan semua isi rumah tidak sempat diselamatkan. Kami menghuni rumah seramai 16 orang daripada tiga keluarga tinggal di sini.
“Ketika kejadian saya berserta tiga anak dan dua cucu berusia enam bulan hingga 20 tahun berada di rumah bergegas keluar rumah tanpa dapat menyelamatkan apa-apa barang termasuk dokumen penting.
“Namun percubaan saya masuk ke rumah untuk mengambil beg tangan mengundang padah apabila tangan kanan melecur teruk dan terpaksa mendapat rawatan pesakit luar di Hospital Jengka,” katanya di sini hari ini.
Menurut Cik Pian dia bersyukur kerana semua ahli keluarga seramai 16 orang selamat kerana kebanyakannya berada di luar.
Sementara itu Komander Operasi Bomba Jengka, Mohd Tarmizi Isa berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Jengka menerima laporan pada kira-kira pukul 7.40 malam sebelum menggerakkan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jengka ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian pasukan operasi mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah separa kekal dan peratus kebakaran adalah seratus peratus namun, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan.
“Susulan itu pasukan bomba bertindak melakukan operasi pemadaman api dan kebakaran berjaya dikawal pada pukul 9 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 10 pukul malam,” ujarnya
Sumber – KOSMO! ONLINE