TAHNIAH – ISTERI EIZLAN YUSOF KINI HAMIL LIMA BULAN
Pelakon Datuk Eizlan Yusof, 49, yang menyambut ulang tahun perkahwinan pertama semalam telah memuat naik ucapan romantis buat isterinya, Datin Seri Natasha Rosa, 30, menerusi laman Instagram.
“Happy 1st #WeddingAnniversary to my sweet #soulmate @sashaboudville thanks for your ❤ yayang mummy to be… 🥰 terima atas ucapan yg baik dan doa u all semua… 🥰🥰🥰 #EizlaNatasha,” tulis Eizlan.
Namun apa yang menjadi perhatian ramai, kapsyen yang ditulis oleh pelakon itu seolah memberikan gambaran bahawa isterinya itu kini berbadan dua apabila memanggil isterinya ‘mommy to be’.
Perkongsian Eizlan itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang teruja serta tidak melepaskan peluang untuk mengucapkan tahniah kepada pasangan itu.
Dalam pada itu, memetik laporan Harian Metro, Eizlan mengesahkan isterinya kini hamil anak pertama mereka dan memaklumkan usia kandungan kini mencecah lima bulan.
Klik untuk gambar besar
“Sengaja kami umumkan berita gembira itu semalam. Ia juga sempena ulang tahun perkahwinan kami yang pertama iaitu 12 Disember. Alhamdulillah, dia (isteri) dah stabil sekarang. Biasalah untuk dua, tiga bulan pertama agak huru hara kerana Tasha tiada selera makan dan pasti muntah semula selepas makan.
“Kiranya, dia alami ‘morning sickness’ yang teruk juga. Keadaannya sekarang kembali kepada asal. Makan pun berselera dan berat badan bertambah. Alhamdulillah, tiada permintaan untuk makan yang bukan-bukan.
“Malah, yang penting dia dan anak dalam kandungan sihat. Kami pun dah beberapa kali jumpa doktor untuk pemeriksaan dan semuanya dalam keadaan baik,” tuturnya.
Eizlan yang mempunyai tiga anak menerusi perkahwinan terdahulu berkata, jantina bayinya sudah diketahui, tetapi dia belum bersedia mengumumkannya.
“Kami terpaksa melalui satu lagi pemeriksaan doktor sebelum benar-benar disahkan. Anak-anak yang lain iaitu, Vie Zara, 12, Zareef Yusof, 10, dan Vie Zaara, 7, memang suka ada adik. Mereka asyik tanya mamanya (Tasha) bila lagi mereka boleh dapat adik.
“Jadi mereka teruja apabila dapat tahu Tasha mengandung. Mereka pun tak kisah sama ada akan dapat adik lelaki ataupun perempuan, asalkan bayi sihat serta selamat,” ujarnya.
Eizlan berkata, isterinya masih bekerja di sebuah hotel terkenal dan hanya akan berehat apabila kandungan memasuki bulan kelapan: “Buat masa ini, Tasha masih kuat bekerja. Cuma kadang kala nampak dia cepat penat. Jadi, saya suruh dia banyak berehat.
“Saya pun tak bagi dia buat kerja berat dan lasak di rumah. Sebelum dia mengandung pun memang saya tak bagi dia buat kerja berat-berat. Tapi, Tasha rajin dan tak suka suasana semak.
“Dia juga ada pelihara dua ekor kucing di rumah kami dan suka melayannya. Lagipun, emak juga menggalakkan dia aktif dan bukan hanya tidur baring semata-mata untuk memudahkan dia bersalin nanti,” katanya.
Eizlan mendirikan rumah tangga dengan Natasha Rosa pada 12 Disember tahun lalu. Terdahulu, Eizlan pernah berkahwin dengan Vie Shantie Khan pada 2007 dan mereka dikurniakan tiga anak sebelum bercerai pada Februari 2015.