Ahmad Faizal boleh terus kekal sebagai Presiden PAFA


Khairul Shahril Mohamed (Gambar fail)

23/12/2020 05:59 PM

IPOH, 23 Dis — Kerajaan negeri tidak mempunyai masalah jika bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu terus dikekalkan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) untuk mengemudikan badan sukan itu dalam menghadapi kancah Liga Malaysia musim depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak Khairul Shahril Mohamed berkata perkara penting yang perlu dilaksanakan adalah memastikan skuad The Bos Gaurus terus berjaya mengharumkan nama negeri.



“Terpulang pada beliau, kita di peringkat kerajaan negeri hanya nak memastikan perjalanan pasukan Perak berada dalam keadaan cukup baik kerana bola sepak merupakan sukan yang cukup rapat di hati rakyat.

Di peringkat kerajaan negeri, kita akan akan memantau pergerakan atau apa jua yang berlaku di PAFA kerana hasrat kita untuk pastikan semua berjalan lancar,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Pada 16 Dis lalu, Ahmad Faizal memaklumkan beliau akan meletak jawatan sebagai Presiden PAFA selepas berakhirnya Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Bagaimanapun beliau dalam kenyataan sama memaklumkan bersedia untuk terus menyumbang idea dan pendapat kepada kepimpinan PAFA yang akan diterajui oleh presiden baharu nanti.



Selain itu, Khairul Shahril berkata sekiranya Ahmad Faizal kekal dengan pendiriannya untuk meletak jawatan, perkara itu perlu diputuskan dalam Kongres Tahunan PAFA yang dijadual berlangsung pada awal tahun hadapan.

“Semuanya bergantung kepada kongres itu. Kita tiada kuasa dan kita juga tak berhasrat untuk letakkan mana-mana individu untuk jawatan tersebut,” katanya.

Mengulas persiapan Perak, katanya, setakat ini ia berjalan lancar dan urusan kemasukan pemain-pemain baharu ke dalam pasukan juga telah diselesaikan oleh pihak pengurusan.

“Kita harap perkara ini akan terus melonjakkan momentum para pemain untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam memastikan Perak terus kekal sebagai antara pasukan disegani dalam kancah bola sepak negara,” katanya.



Ahmad Faizal letak jawatan selepas MB baharu dipilih

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button