DIKATAKAN KINI MULA ‘DEMAND’ – AYU DAMIT TAMPIL TEPIS
Jika sebelum ini penyanyi Ayu Damit, 31, dilihat tenggelam timbul sejak sekian lama, kini setelah mambuat kemunculan menerusi program Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7), ia telah memacu semula kerjayanya.
Lebih manis, apabila Ayu atau nama sebenarnya, Norayu Damit beroleh tempat ketiga dalam program realiti popular itu. Bagaimanapun, graf persembahan juara program realiti, One In A Million musim kedua pada 2008 dilihat turun naik sejak minggu pertama, sekali gus kelihatan seperti hilang taring.
Ada ketika, penyanyi yang pernah popular menerusi lagu ‘Hanya Di Mercu’ itu memukau, ada masanya seperti tidak konsisten hingga meletakkannya di tangga tercorot. Namun, nasib masih berpihak kepadanya.
Di sebalik kejayaan mampu berjuang hingga ke akhir garisan, timbul desas desus mendakwa ibu kepada tiga cahaya mata itu mula bersikap ‘demand’ dan letak harga tidak masuk akal. Tidak melenting, sebaliknya tenang menjawab persoalan, Ayu berkata, letak harga atau tidak, segala-galanya diserahkan kepada pihak pengurusan.
“Bila masa saya demand? Saya tak pernah letak harga untuk sebarang persembahan. Siapa kawan yang mengata saya ‘demand’ agaknya? Nak letak harga tidak masuk akal, jauh sekali. Saya masih berpijak di bumi yang nyata. Selepas GV7 pun rasanya belum ada sesiapa menghubungi saya untuk tawaran nyanyian, apatah lagi masih kalut dengan pandemik COVID-19,” ujarnya.
Ayu berkata, dia bersyukur berjaya mengumpul ramai penyokong baru di kalangan peminat muda ketika menyertai GV7. Bagaimanapun, itu bukan bermaknanya dirinya boleh mendongak ke langit.
“Alhamdulillah, saya berjaya menarik peminat baru, namun yang lama masih kekal menyokong saya. Tidak nafikan, platform GV7 memberikan banyak pendedahan, sekali gus mengubat rindu peminat,” katanya.
Klik untuk gambar besar
Mengulas kerjayanya pernah tenggelam timbul, malah ada menggelarkan sebagai penyanyi sendu, Ayu tidak ambil pusing apa sahaja gelaran yang diberikan kepadanya.
“Sejujurnya, perjalanan kerjaya nyanyian saya masih seperti biasa. Saya mendapat sokongan luar biasa apabila menyertai GV7, sekali gus mengembalikan ingatan peminat terhadap saya. Sebenarnya, perkataan ‘sendu’ diberikan oleh media massa, sedangkan saya masih aktif dalam industri seni. Saya tak kisah pun…,” tuturnya.
Ayu berkata, dia bukanlah sudah hilang taring apabila persembahannya kelihatan tidak begitu konsisten dalam GV7: “Saya akui, tugasan yang diberikan sangat mencabar, setiap minggu. Jadi, ia adalah satu eksperimen untuk saya melakukan persembahan di luar kotak fikiran.
“Saya sedaya upaya melakukan persembahan terbaik, setiap minggu, tetapi ada kalanya tidak memuaskan hati. Saya tidak menyangkal tak mampu menyembunyikan perasaan gemuruh akibat jarang muncul di kaca televisyen.
“Bagaimanapun, saya bersyukur menang tempat ketiga, biarpun saya mungkin bukan peserta pilihan. Saya akui, bukan mudah untuk berjuang hingga memasuki pentas GV7 akhir,” jelasnya.
Untuk memastikan namanya tidak lagi tenggelam timbul, Ayu berkata, dia merancang menghasilkan single baharu demi memastikan nama terus relevan.
“Inilah yang saya mahu buktikan. Saya tidak boleh tenggelam lagi dalam industri seni. Saya sedang berusaha mencari karya yang sesuai untuk dijadikan single baharu,” katanya.