Tutup MSN, Kompleks Sukan Negara bukan keputusan baik – KP MSN
Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN)
09/01/2021 02:53 AM
KUALA LUMPUR, 8 Jan — Penutupan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kompleks Sukan Negara sepenuhnya bukan pilihan yang baik selepas berlaku jangkitan COVID-19 dalam kalangan atlet dan pegawai sukan, kata Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
Beliau berkata penutupan MSN juga bakal menjejaskan prestasi atlet.
Katanya, yang penting ketika ini adalah kawalan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh semua pihak bagi mengekang penularan wabak itu.
“Kita kena terima hakikat kena hidup dalam keadaan jangkitan COVID-19 berada di mana-mana.
“Kita kena pastikan atlet kita bersedia dengan adanya kem latihan seperti ini yang boleh membantu mereka. Buat masa ini sehingga kita mendapat arahan ataupun panduan selanjutnya daripada pihak berwajib mengenai perkembangan luar, kita akan teruskan operasi di MSN,” katanya kepada pemberita susulan lima pegawai MSN disahkan positif COVID-19.
Semalam, MSN mengesahkan lima lagi kakitangan mereka positif ujian COVID-19 selepas sebelum ini dilaporkan tujuh atlet dan seorang pegawai sukan dijangkiti wabak itu sebelum memulakan kem latihan berpusat Isnin lepas.
Kes positif itu membabitkan dua atlet olahraga, tenis berkerusi roda (dua), sukan bola keranjang kerusi roda (dua) dan seorang atlet tenpin boling cacat pendengaran serta seorang pegawai pengiring sukan boccia.