Muhammad Helmi enggan selesa, terus buru kejuaraan CP150 musim baharu


Muhammad Helmi Azman

08/01/2021 03:29 AM

SHAH ALAM, 7 Jan — Juara kategori CP150 Muhammad Helmi Azman enggan dibuai rasa selesa selepas menjuarai kategori berkenaan buat julung kalinya pada saingan Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas pada musim lepas.

Sebaliknya, pelumba pasukan HI REV SCK Honda Racing itu mahu memberi tumpuan untuk meraih keputusan positif dalam setiap perlumbaan yang bakal disertainya musim ini bagi mempertahankan kejuaraan dimilikinya dalam kategori berkenaan.



“Bila off season ini saya, mekanik dan bos selalu berbincang untuk memastikan tahun ini lebih baik dari tahun lepas. Saya juga harap tahun ini jentera saya akan lebih baik,” katanya pada sidang media pengenalan pelumba pasukan berkenaan bagi musim 2021 di sini hari ini.

Pelumba kelahiran Kajang itu ditabal selaku juara keseluruhan kategori CP150 selepas mengumpul keseluruhan 143 mata daripada lapan pusingan sekali gus mencipta kejuaraan sulungnya dalam kategori utama pentas Cub Prix berkenaan.

Lebih manis, kejayaan tersebut turut menyaksikan pasukan HI REV SCK Honda Racing muncul juara kategori pasukan CP150 menerusi kutipan 192 mata keseluruhan.

Selain Muhammad Helmi, pasukan berkenaan turut akan diwakili dua pelumba lain dalam kategori CP150 iaitu Izam Ikmal Izamli dan Md Afizad Supaat.



Promoter Cub Prix, Safe Aim Mutual Sdn Bhd dijangka mengeluarkan kalendar perlumbaan 2021 dalam tempoh terdekat.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button