Kejohanan Liga Hoki Malaysia 2021 tunda ke Julai atau Ogos ini
12/01/2021 02:54 PM
KUALA LUMPUR, 12 Jan — Kejohanan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021 yang dijadualkan bermula Khamis ini, ditunda ke Julai atau Ogos depan.
Penangguhan itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Anil Jeet Singh dalam satu sidang media di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini hari ini.
Penundaan itu adalah selaras dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok hingga 26 Jan ini.
Keputusan untuk menunda kejohanan itu juga dibuat selepas perbincangan bersama barisan Ahli Jawatankuasa Pertandingan, pengurus pasukan yang mengambil bahagian serta barisan Ahli Lembaga Eksekutif KHM.
“Mengikut perancangan Jawatankuasa Pertandingan, kami bercadang menganjurkan semula kejohanan tersebut pada bulan Julai atau Ogos, atau mana-mana tarikh yang bersesuaian di mana semuanya bergantung kepada situasi semasa.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada semua pasukan yang bertanding pada tahun ini kerana memberikan kerjasama yang cukup baik,” katanya.
TNB MHL 2021 yang dijadualkan bermula pada 14 Jan hingga 20 Feb bagi kategori lelaki dan 20 Jan hingga 20 Feb bagi kategori wanita, sepatutnya menjadi kejohanan pertama dalam kalendar kejohanan KHM bagi tahun 2021.
Liga Hoki Malaysia 2021 bakal dilangsung tanpa penonton – KHM