PKP: MSN bersedia kendalikan latihan ikut SOP ketat


Jefri Ngadirin

12/01/2021 04:30 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jan — Majlis Sukan Negara (MSN) bersedia mengendalikan latihan secara kuarantin, mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat, termasuk penjadualan semua masa latihan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di enam negeri bermula Rabu.

Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin berkata, pihaknya akan menggunakan SOP latihan seperti kem latihan secara kuarantin program Road to Tokyo (RTT), yang dilaksanakan bermula Jun tahun lepas, sebelum diberi kelonggaran pada Oktober.

“Contohnya latihan tidak boleh melibatkan lebih 10 orang dalam satu-satu masa, tiada bersentuhan dan pengamalan penjarakan fizikal. Kita dah maklumkan pada jurulatih, kalau ada lebih 10 atlet, mereka perlu melaksanakan latihan secara berjadual.

“Hanya jurulatih dan atlet yang menetap di hostel sahaja dibenarkan berlatih secara kuarantin, manakala mereka yang memilih untuk keluar dari penginapan, perlu menjalani latihan sendiri secara dalam talian,” katanya kepada Bernama.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) malam tadi menyatakan, latihan pusat sepenuh masa melibatkan atlet negara yang sedang berjalan ketika ini di beberapa venue sekitar Lembah Klang dan Nilai, Negeri Sembilan akan diteruskan, menggunakan pendekatan secara kuarantin.

Venue latihan yang terlibat ialah Kompleks MSN Bukit Jalil, Kompleks MSN Taman Keramat, Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan dan Velodrom Nasional di Nilai.

Jefri berkata atlet sepak takraw yang terlibat dengan Sepak Takraw League (STL), akan melaporkan diri Bukit Jalil hari ini, di mana setiap atlet yang mendaftar masuk perlu menjalani ujian calitan COVID-19.

Sebelum ini, MSN mengesahkan bahawa seramai tujuh atlet dan enam pegawai, positif COVID-19 selepas kembali ke kem latihan selepas cuti Krismas dan tahun baharu, pada 3 Jan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *