Bekas pemain skuad Bawah 23 Muhammad Syahid beralih ke bidang kejurulatihan


Muhamad Syahid Zaidon

16/01/2021 02:36 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jan — Selepas menabur bakti hampir 15 tahun selaku pemain bola sepak, Muhammad Syahid Zaidon, bekas pemain skuad Bawah 23 (B-23) tahun kebangsaan, kini mengambil keputusan beralih ke bidang kejurulatihan.

Muhammad Syahid, 31, yang juga bekas pemain skuad Harimau Muda A itu berkata, keputusannya itu bukan disebabkan beliau tiada minat untuk meneruskan karier selaku pemain, sebaliknya mahu menumpukan kepada bidang kejurulatihan setelah ditawarkan jawatan sebagai penolong jurulatih di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Kuantan Pahang, baru-baru ini.



“Memang perancangan asal saya untuk bermain bola sepak sehingga umur 30 tahun sahaja, dan selepas itu teruskan dalam bidang kejurulatihan bola sepak, dan secara kebetulan saya dapat tawaran sebagai penolong jurulatih daripada AMD dengan kontrak setahun,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Dalam pada itu, pemain kelahiran Bentong, Pahang itu bertekad mendalami sebanyak mungkin ilmu kejurulatihan sewaktu berada di AMD dan tidak menolak kemungkinan untuk menjadi jurulatih profesional sepenuh masa sekiranya mendapat tawaran yang sesuai pada masa akan datang.

Beliau yang mempunyai lesen kejurulatihan B Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan lesen kejurulatihan C Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menegaskan, masih banyak perkara yang perlu dipelajarinya dalam selok-belok kejurulatihan.

“Sasaran saya sebelum mencecah usia 40 tahun, saya mahu mempunyai lesen kejurulatihan A dan lesen kejurulatihan profesional bagi menambah ilmu kejurulatihan bola sepak, namun semuanya bergantung kepada keadaan pada masa itu,” katanya.



Muhammad Syahid yang beraksi di posisi pemain tengah, memulakan karier bola sepak dengan mewakili skuad Bawah 17 tahun (B-17) negara pada 2006, sebelum menyertai skuad Harimau Muda A yang dibubarkan dari 2007 hingga 2013.

Beliau kemudiannya mendapat tawaran menyertai Felda United selama empat musim daripada 2014 hingga 2017 sebelum berhijrah ke pasukan Negeri Sembilan pada 2018.

Di peringkat antarabangsa, beliau mewakili skuad B-21 dan B-23 kebangsaan dari tahun 2008 hingga 2013 dengan membuat 16 penampilan secara keseluruhan, namun tidak berjaya menjaringkan sebarang gol.

Antara kejayaan manis yang dikecapinya adalah muncul naib juara Liga Premier dan Piala FA bersama Felda United pada 2014, selain membantu pasukan sama muncul naib juara Liga Super pada 2016.



Beliau juga pernah mewakili skuad Harimau Muda A dalam saingan Liga Singapura pada 2012 serta pernah beraksi dalam Liga Slovakia 2013.

Amirizdwan Taj pilih bidang kejurulatihan selepas 16 tahun bergelar pemain



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button