Jaringan lebuh raya tingkatkan kesalinghubungan China, Myanmar
17/01/2021 04:17 PM
KUNMING, 17 Jan — Pengangkutan rentas sempadan China dan Myanmar kini semakin mudah dengan bermulanya operasi lebuh raya Jinghong-Menghai di daerah autonomi Xishuangbanna, wilayah Yunnan.
Lebuh raya sepanjang kira-kira 54 kilometer dengan kelajuan operasi 80 kilometer per jam itu dibuka pada Jumaat, menyaksikan seluruh daerah didiami etnik Dai itu disambungkan dengan jaringan lebuh raya.
Ia dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas selain memendekkan masa perjalanan di antara Jinghong dan Menghai kepada kira-kira setengah jam berbanding satu setengah jam sebelum ini.
Perjalanan dari ibu kota Kunming ke pintu keluar masuk Daluo, Menghai di sempadan dua negara juga semakin mudah.
Prasarana berkenaan dipercayai akan terus menjana pembangunan perindustrian rantau, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan antara China dengan Myanmar.
Lebuh raya Jinghong-Menghai antara komponen jaringan lebuh raya peringkat negara, dibina untuk menghubungkan bahagian tengah dan barat daya China, menuju ke negara Asia Selatan dan Tenggara.
UAE mahu tingkatkan hubungan dagang, pelaburan dengan Malaysia – Duta