Minum bir di PKRC, tindakan tatatertib jika terbukti ‘frontliner’ terlibat

© Provided by Free Malaysia Today Tular di media sosial memaparkan sekumpulan individu meminum bir di sebuah Pusat Kuarantin Covid-19. (Gambar Facebook)

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun berkata, tindakan tatatertib akan diambil jika didapati ada golongan barisan hadapan yang terlibat dalam kejadian sekumpulan individu mengambil minuman keras di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di sini, seperti tular di media sosial, baru-baru ini.

Katanya, siasatan lanjut kini masih dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti individu terbabit termasuk sekiranya ada pekerja barisan hadapan yang membantu kumpulan pesakit itu membawa masuk minuman keras ke PKRC berkenaan.



“Buat masa ini, JKNS bersama dengan PDRM masih menjalankan siasatan lanjut terhadap video tular yang menunjukkan sekumpulan individu minum minuman keras di sebuah PKRC di Kota Kinabalu.

“Polis juga tidak menolak kemungkinan minuman keras itu dibawa sendiri atau dibantu oleh kakitangan yang bertugas.

“Pihak JKNS memandang serius perkara ini dan jika terdapat bukti ada kakitangan jabatan turut terlibat, tindakan tatatertib boleh dikenakan selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di Sabah yang dibuat menerusi aplikasi Zoom, hari ini.

Masidi berkata, susulan kejadian itu, pihak pengurusan PKRC yang terlibat telah memulakan pemeriksaan mengejut ke atas beg pesakit yang dibawa masuk ke pusat berkenaan bagi mengelak perkara sama berulang.



Terdahulu dalam video yang tular itu, sekurang-kurangnya lapan individu terbabit dalam aktiviti minum minuman keras di pusat berkenaan.

Video berdurasi 12 saat itu memaparkan enam lelaki dan dua wanita sedang memegang tin bir.

Semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah, Hazani Ghazali mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian itu dan berkata siasatan kini sedang berjalan termasuk mengambil keterangan daripada kakitangan di pusat berkenaan.

Lapan anggota polis dikenakan tindakan tatatertib, terima imbuhan atur lokasi tugas



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button