Polis buka kertas inkuiri dakwaan aktiviti judi di PKRC, MAEPS
Pusat rawatan dan kuarantin COVID-19 di MAEPS, Serdang
SEPANG, 21 Jan — Polis membuka kertas inkuiri bagi menyiasat dakwaan berlakunya aktiviti judi di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang seperti yang tular di laman sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata kertas inkuiri itu dibuka selepas pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada seorang anggota yang bertugas di Balai Polis Dato Abu Bakar Baginda, Sepang hari ini.
“Kertas inkuiri ini dibuka bagi membolehkan polis membuat siasatan lanjut (mengenai kejadian itu) selain untuk pemantapan pemeriksaan pesakit di MAEPS,” katanya hari ini.
Tular di media sosial beberapa hari lepas kononnya wujud aktiviti judi di sebuah dewan PKRC, MAEPS di Serdang yang menempatkan pesakit COVID-19.
Menerusi beberapa video berdurasi lima hingga 10 saat, terdapat beberapa pesakit yang bermain daun terup dan warganet menyifatkan tempat itu kini umpama mini kasino.
MAEPS diaktifkan semula sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19