ASEAN mesti pertingkat kerjasama rapatkan jurang digital- ITU
21/01/2021 08:54 PM
Oleh Voon Miaw Ping
KUALA LUMPUR, 21 Jan — ASEAN mesti meningkatkan kerjasama dalam merapatkan jurang digital dalam negara dan di antara blok itu untuk membolehkan penduduk rantau ini menikmati lebih manfaat daripada teknologi digital dan komunikasi.
Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) berkata ia amat penting memandangkan jurang digital dijangka semakin luas apabila teknologi baharu seperti 5G, kecerdasan buatan, data raya dan pengkomputeran awan diperkenalkan.
Pengarah Rantau Asia dan Pasifik ITU, Atsuko Okuda, berkata pada masa ini jurang digital masih wujud.
“Golongan muda bandar yang berkemampuan, berpendidikan, celik digital mungkin lebih berpeluang dalam pendidikan, pekerjaan dan perniagaan berbanding kumpulan masyarakat lain di negara sama.
“Oleh itu, jurang digital, yang ditentukan oleh akses ke rangkaian, peranti, kemahiran digital dan literasi, dibimbangi akan meluaskan lagi jurang sosioekonomi pada era digital pasca-COVID-19 ini,” kata Okuda kepada Bernama sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Pertama (ADGMIN1) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan dari 18-22 Jan yang dipengerusikan Malaysia.
Menurutnya pandemik COVID-19 global telah memperlihatkan kepentingan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam bentuk aplikasi dan perkhidmatan digital untuk masyarakat berikutan sekatan pergerakan COVID-19.
“Semua negara perlu menyedari kewujudan jurang itu yang mungkin berkaitan dengan tahap kemampuan dan juga kesediaannya di kawasan terpencil dan luar bandar.
“Pelbagai usaha dan penyelarasan di seluruh agensi kerajaan dan masyarakat perlu digerakkan untuk memastikan infrastruktur digital dan akses kepada perkhidmatan ini tercapai dan perantinya mampu dimiliki,” katanya.
Dalam hal ini, Okuda berkata dasar dan peraturan memainkan peranan penting dalam pembangunan digital sesebuah negara dan wilayah.
Okuda menyebut Pelan Induk Digital ASEAN 2025 (ADM2025) akan menjadi langkah penting untuk mempermudah pembangunan ICT dengan pendekatan secara menyeluruh kerajaan.
Beliau turut menekankan kepentingan pelaburan langsung jangka panjang untuk mendorong ASEAN terus terhubung secara digital.
Menurutnya ASEAN juga harus mementingkan pelaburan dalam sumber manusia, perniagaan, kandungan dan aplikasi untuk memastikan pelaburan dalam rangkaian dan infrastruktur dapat bertahan untuk jangka panjang.
Selain mengambil pendekatan tidak langsung seperti menurunkan cukai, membuat dasar yang jelas dan mengurangkan kos spektrum serta menggalakkan pelaburan swasta untuk infrastruktur dan jaringan dengan model pembiayaan lestari.
ITU adalah sebuah agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk ICT.
Ia ditubuhkan pada 1865 bagi memudahkan penyambungan antarabangsa dalam rangkaian komunikasi, memperuntukkan spektrum radio global dan orbit satelit dan membangunkan standard teknikal yang memastikan rangkaian dan teknologi saling terhubung dengan lancar.