POSITIF COVID-19 – ROY MASIH ALAMI SESAK NAFAS, KINI DIRAWAT DI ICU
Semua sedia maklum mengenai keadaan penyanyi Roy atau nama sebenarnya Mohammad Rauzan Alwi, 57, yang sebelum ini mengesahkan dirinya positif Covid-19 tahap empat.
Terkini, Roy difahamkan masih lagi mengalami sesak nafas dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh selepas dipindahkan ke unit itu pada Selasa lalu.
Isterinya, Haslinda Abd Rahman, 56, ketika dihubungi berkata, dia hanya mampu menantikan berita daripada pihak hospital. Menurut Haslinda, dia bersama dua anaknya ketika ini masih lagi menjalani kuarantin di rumah secara sendiri.
“Saya pun tak dapat nak menghubungi dia secara terus kerana suami masih lagi dirawat di ICU. Jadi, saya hanya mampu menunggu apa-apa berita daripada pihak hospital.
“Saya bersama anak-anak kini menjalani kuarantin di rumah. Kami dah jalani ujian ‘swab’ (calitan), namun belum menerima sebarang keputusan ujian. Selain itu, ada beberapa simptom seperti demam, mula kami alami,” katanya.
Terdahulu, Roy dimasukkan ke Hospital Banting tengah malam Sabtu lalu akibat sesak nafas. Dia mulanya ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan tetapi dirujuk ke hospital oleh doktor. Hasil pemeriksaan, doktor mendapati terdapat jangkitan kuman pada paru-paru. Roy yang turut menjalani ujian saringan Covid-19 di hospital berkenaan, bagaimanapun disahkan positif virus itu.
MASUK HOSPITAL – ROY ALAMI SESAK NAFAS, ADA JANGKITAN KUMAN PADA PARU-PARU